Terlalu Kurus


Masalah terlalu kurus jarang diperkatakan oleh masyarakat berbanding masalah berlebihan berat badan. Kurus dilihat sebagai satu keadaan yang sihat dan menjadi idaman ramai orang. Namun begitu, kurus pada hakikatnya bukanlah sesuatu yang baik bagi kesihatan seseorang individu.

Jika dilihat dari segi definisi berat badan yang unggul, nilaian Body Mass Index (BMI) antara 18.5 hingga 24.9 adalah dikira normal. Namun begitu, secara idealnya nilaian antara 20 ke 23 adalah lebih baik lagi. Nilai bawah 18.5 adalah ‘underweight’ atau kurang berat badan. Mungkin ramai yang tidak memahami masalah di sebalik kurang berat badan atau dalam bahasa mudahnya, terlalu kurus. Ramai juga tidak ambil pusing untuk menaikkan berat badan kerana takut akan menjadi gemuk walaupun pada hakikatnya beliau terlalu kurus.


Sebenarnya, terdapat pelbagai masalah kesihatan yang boleh timbul dari masalah ini. Kekurangan zat makanan, keletihan kronik (chronic fatigue), amenorhea (ketiadaan haid) atau pusingan haid yang tidak sekata, anemia (kurang darah) dan kurangnya ketahanan tubuh terhadap jangkitan kuman. Di samping itu ketidakseimbangan hormon juga mampu berlaku terhadap mereka yang terlalu kurus dan ini pasti akan membawa kepada pelbagai lagi masalah lain yang berkaitan dengan fungsi hormon tersebut.